Cikgu Haka
Ilmu itu untuk yang mencari.
Thursday, April 29, 2021
Pemahaman 2: Henti jadikan media sosial medan buli siber
Dunia moden membawa corak kehidupan baharu kepada manusia. Masyarakat menjadikan teknologi medium utama perhubungan satu sama lain. Kesannya, komunikasi digital menjadi sebahagian besar cara hidup hampir semua orang dalam segenap aspek kehidupan.Anak generasi baharu berkenalan dengan penggunaan teknologi seawal hari pertama hidup mereka. Tidak hairan mereka mahir menggunakan pelbagai medium perhubungan dalam talian ketika menginjak remaja.
Melalui ruangan internet tanpa sempadan, mereka bebas bergaul tanpa batasan, walaupun tidak mengetahui identiti sebenar kenalan di media sosial. Jika dilihat secara umum, ia satu interaksi positif kerana mereka boleh bertukar idea, saling memberi manfaat dan mengenali kehidupan orang lain yang berbeza latar belakang dengan mereka.
Namun, kebebasan dunia maya membawa kesan negatif sekiranya berlaku penyalahgunaan media sosial. Antara isu yang menjadi cabaran ialah buli siber. Buli siber sama seperti buli fizikal, namun berlangsung dalam talian. Pembuli berkemungkinan dikenali dan boleh jadi mereka yang tidak diketahui identitinya.
Terlalu banyak kesan negatif kepada mangsa buli seperti lemah semangat, hilang keyakinan, takut untuk berhadapan masyarakat, berasa diri tidak berharga, sukar untuk gembira dan kemurungan. Lebih mengeruhkan keadaan, pembuli menggunakan kelemahan seperti fizikal yang tidak menarik, pencapaian akademik kurang memberangsangkan serta isu peribadi, termasuklah masalah keluarga sebagai subjek bulian mereka.
Lebih malang, isu lebih sensitif dipermainkan seperti menghina agama lain, mencetuskan kemarahan bangsa dan mempermainkan prinsip serta kepercayaan kelompok masyarakat lain. Hal ini akan menarik lebih ramai orang untuk menggunakan media sebagai gelanggang perbalahan menerusi komentar dan ulasan tidak berlapik mereka. Walaupun dilihat tidak serius kerana pembuli dan mangsa kebanyakannya bukanlah saling mengenali, kesan negatif perbuatan ini akan kekal dalam diri mangsa itu.
Bagi menangani isu ini, mangsa buli siber perlu mendapatkan sokongan khususnya daripada orang terdekat seperti keluarga dan ibu bapa. Mereka juga perlu menjauhkan diri daripada memberi respon di media sosial untuk satu tempoh masa sehingga keadaan kembali stabil. Jika perlu, mereka harus mendapatkan nasihat pakar untuk rawatan emosi dan psikologi mereka.
Mereka juga boleh bergaul dengan kelompok masyarakat di sekeliling secara fizikal seperti jiran tetangga dan saudara yang biasanya tidak mudah menghukum serta mengenali hati budi mereka melebihi kenalan di media sosial. Mangsa buli juga boleh memenuhkan masa dengan hobi untuk menjadikan keadaan mereka lebih baik. Mereka boleh berhubung dengan golongan yang berkongsi hobi dengan mereka.
Dengan itu, topik perbualan mereka akan berkisar hobi dan minat sahaja. Hal ini dapat membuatkan mangsa buli siber kembali bersemangat. Apabila sudah kuat, buli di media sosial tidak akan memberi kesan lagi. Mereka akan lebih berkeyakinan menghadapi cabaran masa hadapan. Mangsa buli siber juga memerlukan sokongan orang untuk membina kekuatan dalaman serta berani mengambil langkah proaktif untuk mengelak diri terus menjadi mangsa.
Justeru, semua anggota masyarakat seharusnya berganding bahu menghalang isu ini daripada terus merosakkan komunikasi murni sesama mereka. Sesiapa pun tidak seharusnya menjadi mangsa buli siber. Media sosial bukan medan permusuhan, tetapi medium yang baik untuk perhubungan.
Soalan Pemahaman:
1. Apakah buli siber ?
2. Senaraikan kesan negatif buli siber kepada mangsa.
3. Bagaimanakah cara untuk mangsa buli siber dapat keluar daripada masalah ini ?
Pemahaman 1: Tingkat kesedaran bahaya wabak malaria
RAMAI kurang sedar bahaya malaria dalam kalangan komuniti. Walhal ia sama bahaya dengan pandemik COVID-19 kita alami kini. Malaria juga wabak pembawa maut yang sudah lama berada di negara ini. Namun, pujian harus diberikan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) kerana tidak jemu berusaha mengurangkan kes malaria.
Sehinggakan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mengumumkan negara kita berjaya mencapai sasaran sifar kes jangkitan human malaria indigenous untuk tiga tahun berturut-turut bermula 2018 hingga 2020.
Antara formula Malaysia gunakan untuk menurunkan wabak ini, Program Eradikasi Malaria dan Program Kawalan Malaria sejak 1961 lagi. Terbaru, KKM melakukan Pelan Strategik Eliminasi Malaria Kebangsaan (PSEMK). Apapun, program imunisasi malaria sudah lama kita lakukan pasti banyak memberi kesan positif dan penyumbang kejayaan besar ini. Sebab itulah saya hairan masih ada menolak pengambilan vaksin. Bukankah vaksin terbukti berjaya membentuk imunisasi badan baik dalam diri penerima selama ini?
Sebagai orang memiliki pengalaman ahli keluarga pernah menghidap wabak ini, saya berterima kasih kepada KKM serta Dr Adham kerana masih terus fokus memberi kesedaran dan menghalang jangkitan malaria, walaupun kita diuji COVID-19. Sempena sambutan Hari Kesedaran Malaria Peringkat Kebangsaan dilancarkan Dr Adham, Isnin lalu, saya mengikuti setiap pesanan beliau dan KKM. Tujuannya, melihat sendiri sejauh mana kerajaan serius terhadap wabak yang lama kita alami sebelum kedatangan COVID-19. Ternyata Dr Adham dan KKM melakukan kerja sehabis baik dan konsisten demi menjaga tahap kesihatan masyarakat. Oleh itu, tiga peranan disebut ketika ucapannya itu perlu diteliti.
Pertama, anggota kesihatan perlu sentiasa peka dengan kumpulan berisiko jangkitan malaria di kawasan operasi masing-masing. Kedua, agensi kerajaan atau swasta dalam sektor seperti perladangan, perlombongan dan pembinaan perlu memastikan semua pekerja asing melalui pemeriksaan perubatan, termasuk saringan malaria mengikut polisi ditetapkan kerajaan. Ketiga, penduduk terbabit dengan aktiviti berisiko di hutan seperti memburu dan pembukaan tanah baharu untuk pertanian perlu mengambil langkah pencegahan seperti memakai pakaian dapat melindungi keseluruhan badan daripada gigitan nyamuk dan menggunakan ubat penghalau nyamuk (repellent).
Kesedaran dan minat saya untuk isu malaria mungkin dirasakan kecil kepada orang lain. Namun, bagi mangsa selamat daripada wabak ini, ia perlu mendapat perhatian serius ramai pihak. Pesan saya, jangan kita hanya anggap COVID-19 sahaja mampu menjadi wabak pembunuh. Ada beberapa lagi wabak boleh membuatkan nyawa kita terkorban jika kita tidak jaga kualiti kebersihan.
Terima kasih KKM kerana terus peka isu kesihatan masyarakat.
Azmir Abu Hanifah,
Paroi, Negeri Sembilan
SOALAN PEMAHAMAN
1. Apakah formula yang digunakan untuk menurunkan wabak Malaria ?
2. Apakah tiga peranan yang ditegaskan oleh Dr. Adham ?
3. Apakah pesanan kepada semua orang tentang wabak Malaria ?
Subscribe to:
Posts (Atom)